PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang lelaki memaklumkan mengenai kebakaran berhampiran kotak fius di sebuah rumah dipuji orang ramai.
Menerusi satu video tular di TikTok Cikzaa, kejadian tersebut berlaku di rumahnya pada pagi semalam apabila kabel elektrik berhampiran kotak fius yang terletak di hadapan rumahnya terbakar tanpa disedari.
“Dugaan di pagi Jumaat. Allah masih melindungi kami sekeluarga, kalau tidak sedar tadi tak tahulah apa nasib kami. Terima kasih orang baik,” tulis kapsyen pada video itu.
Kejadian itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan rumahnya.
Melalui rakaman itu kelihatan seorang lelaki sedang berjalan kaki melalui kediamannya sebelum terlihat kebakaran kecil di kotak fius berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna memuji tindakan pantas lelaki tersebut yang sudah membantu menyelamatkan penghuni rumah berkenaan.
“Itu sebab kena berbaik dengan jiran-jiran, sebab bila ditimpa musibah, jiran kita yang akan membantu,” kata Mommy Erina.
“Jadilah seorang yang peka dengan keadaan sekeliling. Boleh menyelamatkan nyawa seseorang, jadi yang peka saja, bukan jaga tepi kain orang,” kata Jaja.
“Mungkin abang ini ada bau hangit bila lalu depan rumah sebab itu dia perasan. Semoga abang ini diberi ganjaran pahala yang besar,” kata Abang User.
Sehingga kini, video berkenaan telah ditonton lebih 200,000 kali. – KOSMO! ONLINE
@ckzaa11 Dugaan dipagi jumaat..Allah masih melindungi kami family..kalu tidak sedar tadi xtau la nasib kami😭😭terima kasih orang baik🥰 #alhamdulilahfypシ #allahujisebaballahsayang #dugaan2025 ♬ original sound – GAJAH TERBANG