KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes Toyota Hilux dan Toyota Vios yang merempuh sekumpulan individu di hadapan sebuah kelab sekitar Jalan Klang Lama, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tiga suspek yang dikesan dikenali sebagai Devindran Muniandy, 25; Ranjith Maniyarasu, 19 dan Lavindran Muniandy, 27.
“Sehingga kini, belum ada tangkapan baru dibuat atas kes tersebut,” ujarnya ringkas kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis sudah menahan lima suspek di sekitar Banting, Selangor yang mempunyai rekod jenayah lampau.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal setakat ini mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham.
“Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara kumpulan suspek dan mangsa semasa berhibur.
“Setakat ini, punca lain yang mengakibatkan berlakunya kejadian ini masih dalam siasatan polis,” ujarnya.
Ekoran kejadian, dua individu dilaporkan cedera manakala kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE.