PETALING JAYA – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk menjalankan pemantauan rapi terhadap pergerakan tanah di Jalan Song-Temalat-Kanowit, Kapit, Sarawak susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pemantauan secara berterusan amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya telah meminta pasukan JKR untuk membuat pemantauan pergerakan tanah di lokasi jalan runtuh secara berterusan.
“(Ini) bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku yang boleh membahayakan nyawa orang awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.
Beliau turut mengarahkan kerja-kerja pembaikan dipercepatkan, memandangkan laluan tersebut merupakan antara jalan utama penduduk setempat.
“Buat sementara, laluan lencongan telahpun disediakan untuk kegunaan kenderaan kecil dan ringan.
“Saya juga telah meminta papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan diletakkan dengan jelas demi keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alexander turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam mengambil tindakan pantas di kawasan terkesan bencana. – KOSMO! ONLINE