PETALING JAYA – Individu yang selalu menganggap dirinya betul dalam setiap perkara adalah sebenarnya manusia yang sudah tidak ‘betul’.
Menjelaskan perkara itu, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, sikap itu juga merupakan satu penyakit dalam diri individu terbabit.
Azhar berkata, sebagai manusia biasa tidak ada seorang pun yang layak menggelarkan dirinya semua betul kecuali Nabi dan Rasul.
“Orang yang rasa selalu betul itu adalah tanda orang itu sudah tidak berapa betul (sakit mental). Kalau kadang-kadang dia rasa betul, itu betul (normal).
“Sifir kita mudah, siapakah orang yang baik? Orang baik adalah rasanya dirinya tidak baik. Manakala, siapa pula orang yang jahat? Orang jahat adalah orang yang merasakan dirinya baik,” katanya dalam satu sesi kuliah di sebuah masjid baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, sebagai orang Islam jangan latih diri kita sentiasa betul, walaupun kadang-kadang kita betul, rendahlah diri.-KOSMO! ONLINE