GUA MUSANG – Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka selamat selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Bandar Utama di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian. Dua anak mangsa berusia 10 bulan dan lima tahun selamat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, semasa melalui kawasan selekoh, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler jenis Scania.
“Kemalangan itu menyebabkan treler yang dipandu lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terbalik. Kereta yang dinaiki empat beranak itu turut terbabas ke bahu kiri jalan.
“Pemandu dan penumpang depan kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anak mereka dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan awal,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE