MELAKA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagi prosiding berhubung isu kelewatan pemasangan aerotrain.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selain itu, isu kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menjadi perhatian.
Menurutnya, isu berkaitan termasuk penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Saham sebagai pemilikan konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) diketuai Khazanah termasuk isu harga tiket yang tinggi.
Beliau berkata, PAC telah membuat senarai menjelang minggu kedua Februari ini dan ramai lagi pihak akan dipanggil untuk prosiding berkenaan.
“PAC telah menyediakan terma rujukan untuk ahli-ahli dan ia telah dipersetujui untuk prosiding yang menjurus kepada banyak perkara termasuk kerugian KWSP sebanyak RM500 juta serta beberapa perkara lagi.
“Isu ini mungkin mengambil masa yang agak panjang kerana semua yang dibangkitkan berkaitan isu rakyat terlalu banyak kerana perlu memanggil saksi-saksi untuk prosiding tersebut.
“Saya tidak menolak Menteri (Anthony Loke) untuk datang prosiding PAC jadi sesiapa yang kita rasa kita perlu panggil perlu datang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Taman Tambak Harmoni di sini malam tadi. – KOSMO! ONLINE