SHAH ALAM – Selepas tujuh tahun menjalin hubungan cinta, penyanyi Naufal Azrin selamat bertunang dengan wanita pilihannya yang juga seorang guru berumur 28 tahun.
Naufal atau Ahmad Naufal Azrin, 26, berkata, dia dan wanita dikenali sebagai F berasakan ikatan pertunangan adalah perkara yang terbaik ketika ini.
“Kami sudah lama kenal. Saya rasa sudah tiba masa kami melangkah ke fasa seterusnya.
“Saya pun mula terbuka hati sekarang dan ambil keputusan untuk bertunang.
“Alhamdulillah majlis pertunangan selamat berlangsung di Tumpat, Kelantan semalam,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Kata pelantun lagu Casablanca, mereka masih belum menetapkan tarikh pernikahan tetapi dijangka bakal berlangsung pada tahun ini.
“Dia seorang guru dan kami kenal menerusi Instagram.
“Jika tiada aral melintang, insya-Allah akan kahwin tahun ini,” ujarnya.
Enggan mendedahkan identiti wanita tersebut secara terperinci, Naufal berkata, dia akan berkongsi selepas mereka sah bergelar suami isteri kelak.
“Tunggulah nanti bila dah kahwin nanti saya akan kongsikan siapa dia.
“Buat masa sekarang biarlah rahsia dulu,” jelasnya.
Terdahulu, Naufal mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik foto duduk di pelamin bersama wanita berkenaan namun menutup wajah tunangnya itu dengan emoji tanda hati. – KOSMO! ONLINE