fbpx

‘Waktu PKP dulu, hanya syarikat ini yang tidak berhentikan pekerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arrora Salwa kini kembali bekerja di awan biru. – Syakir Radin

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Arrora Salwa akan kembali bertugas di awan biru biarpun baru tiga minggu tersingkir daripada program itu.

Menurut Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 40, cutinya bersama syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) telah pun berakhir semalam dan dia akan kembali menyarung ‘uniform’ pramugari hari ini.

“Sejak saya tersingkir daripada GV11 pada minggu ke lapan saya belum sempat berehat. Selepas tersingkir saya terus masuk set penggambaran bersama Datuk Yusof Haslam dan juga Zeel Production.

“Esok pagi (Sabtu), saya masih perlu ke set penggambaran. Dan sebelah petang saya akan kembali bertugas sebagai pramugari dan akan terbang ke Australia,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala GV Liplap, di sini, semalam.

Tambah pelantun lagu Ahmad itu lagi, dia tidak mahu terburu-baru meletakkan noktah dalam kerjayanya sebagai pramugari biarpun kini mula dihujani dengan tawaran dalam bidang seni.

“Saya tak boleh buat tindakan terburu-buru sama ada mahu meninggalkan kerjaya di awan biru ataupun tidak.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, hanya syarikat MAS sahaja yang tidak memberhentikan pekerja-pekerja mereka. Bermakna syarikat ini sangat menjamin kebajikan pekerja mereka.

“Jadi buat sementara waktu ini saya akan teruskan kerjaya sebagai pramugari. Kemudian baru kita putuskan sama ada mahu teruskan ataupun tidak berdasarkan perjalanan kerjaya saya dalam bidang seni,” jelasnya.

Kata penyanyi jelita itu lagi, dia meletakkan tempoh lagi dua tahun untuk betul-betul membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama syarikat tersebut atau sebaliknya.

Ditanya kenapa tempoh cutinya hanya sehingga bulan Januari sedang program GV11 masih berlangsung, kata Arrora dia memang tidak yakin akan ke peringkat akhir.

“Memang saya mohon cuti sehingga hujung Januari sahaja kerana saya sedar nyanyian saya tidak bagus. Jadi tak mungkin saya akan kekal sehingga ke peringkat akhir. Biarlah orang yang lebih layak berada di pentas akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI