SHAH ALAM – Malaysia diiktiraf beberapa badan antarabangsa sebagai antara lima buah negara yang aktif dalam program wakaf al-Quran di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini dibuktikan dengan lebih 100,000 naskah al-Quran telah disumbangkan ke luar negara termasuk Thailand, Kemboja, China dan Afrika dalam program Wakaf Al-Quran yang dikelolakan Yayasan Restu dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM50 juta setiap tahun untuk program wakaf pendidikan Islam termasuk wakaf Al-Quran melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MAIN.
“Justeru, menunjukkan Malaysia bukan sahaja komited dalam memperkasakan wakaf Al-Quran di dalam negara, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkan al-Quran di peringkat global,” katanya ketika berucap merasmikan Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-13 dan melancarkan Al-Quran Mushaf Mufiq di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga penaung Waqaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan berkata, program Waqaf Al-Quran telah bermula sejak tahun 2007 dengan matlamat untuk menyebarkan Al-Quran kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Sehingga kini, dianggarkan lebih 500,00 naskah telah diwaqafkan oleh pelbagai institusi dan organisasi di Malaysia.
“Sumbangan wakaf layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE