fbpx

Tak perlu jadi nerda ‘ML’, 5 bintang untuk Soloz: The Game of Life!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA babak mengocak adrenalin dalam Soloz: Game of Life yang berjaya mengubah persepsi khalayak terhadap dunia e-sukan.

MENINJAU sepintas lalu semua judul filem sutradara Syafiq Yusof, penulis berani menyifatkan naskhah terkininya, Soloz: Game of Life sebagai buah tangannya paling berkualiti daripada pelbagai segi. 

Mengapa? Pertamanya, secara peribadi, menonton naskhah berkenaan pun sudah tertanya-tanya atau ‘geleng kepala’ bagaimana pengarah hebat itu mampu merealisasikan Soloz: Game of Life dengan penuh kesempurnaan. 

Selain terkandung kebanyakannya babak ‘live action’, filem tersebut juga dihasilkan dengan seni animasi yang sangat luar biasa. Penulis tidak tahu bagaimana Syafiq mampu melakukannya, namun itulah magisnya seorang Syafiq Yusof kini. 

Buat khalayak yang belum menonton Soloz: Game of Life, tolonglah luangkan sedikit masa dengan berkunjung ke pawagam berdekatan. Tidak perlu bergelar nerda Mobile Legend (ML), kalian pasti tidak akan pulang dengan kehampaan usai mengabiskan tontonan. 

Dari sudut penceritaan, filem berkenaan mudah difahami dan dikomersialkan dengan jayanya. Bukan filem biopik tetapi diadaptasi daripada kisah inspirasi atlet e-sukan iaitu Soloz dan rakan-rakannya termasuklah Daddyhood (lakonan Hafeez Mikail), Safwan (Noki) dan Fizul (Syafie Naswip). 

Jujurnya, penulis agak sedikit skeptikal pada awalan cerita, namun minit demi minit, perjalanan plot dikembangkan dengan cukup baik. 

Karakter genius

Secara peribadi juga, ‘live action’ dan seni animasi bukan mudah untuk menyatu. Kalau bersatu pun, pasti wujud momen yang ‘mengangkat kening’ kerana dua elemen itu kadangkala umpama air dan api, namun pengarah berjaya meletakkan titik kewarasan penyatuan dalam sebuah naskhah.

Kedua, terjemahan karakter para pelakon dalam Game of Life sememangnya menepati sinergi yang diharapkan. Hun Haqeem yang memeran watak utama sebagai Soloz sangat bertepatan dengan tema dan perjalanan cerita. 

Antara babak yang membuatkan mata bergenang air mata dalam Soloz: Game of Life yang kini hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Begitu juga energi yang terhasil daripada pelakon hebat lain termasuklah, watak anti hero bernama Irfan (Ikmal Amry). Karakter dibangunkan cukup ‘seni’ dan mudah mencetuskan kebencian, namun pada masa sama jatuh simpati. 

Ketiga, selain kemenjadian banyak perihal lain, satu hal yang membuatkan penulis terus ‘tabik spring’ kepada Syafiq adalah kematangan evolusinya pengarahannya, ada sahaja kemajuan dipamerkannya.

Sinematografi dalam Game of Life cukup membuatkan penonton terpaku. Sebab itu penulis berani katakan, ini adalah filem terbaik Syafiq, sebagai pembikin filem. 

Sudahlah satu dimensi baharu ‘dibuka’ dari dunia sinematik tanah air dan hasilnya juga langsung tidak mengecewakan. 

Komersial, nilai

Akhir sekali, semestinya nilai komersial  dan mesej tersurat serta tersirat dalam Game of Life tepat menikam di jiwa penonton. 

Game of Life membuktikan bahawa sebarang kerjaya sekali pun, andai dikerjakan dengan sepenuh hati, pasti akan mendatangkan kebaikan dan keuntungan. 

Soloz: Game of Life membuktikan bahawa kerjaya sebagai seorang gamer atau atlet e-sukan bukan satu pekerjaan yang sia-sia.

Kadangkala, erti kejayaan hadir bukan kerana menjadi yang paling terbaik, tetapi dikelilingi dengan rasa kasih sayang orang sekeliling. Itulah yang boleh dipelajari daripada kisah Soloz. 

Bermain ‘game’ tidak lagi pekerjaan sia-sia sebagaimana sering dilabel para ibu bapa terhadap anak-anak. 

Sebagai sebuah filem, Soloz: Game of Life tidak banyak kekurangan. Penulis juga tidak teragak-agak meletakkan markah A ke atas untuk kualiti filem tempatan sedemikian. 

Tinggal lagi filem tersebut perlu sokongan daripada penonton agar lebih banyak karya ‘luar kotak’ dapat dimajmukkan selepas ini. Tahniah Syafiq dan keseluruhan produksi Game of Life!. Anda satu lagi ‘nyawa’ baharu buat sinema lokal!



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI