BACHOK – Kegembiraan empat sekawan kanak-kanak mandi-manda di Pantai Kandis di sini pada petang tadi berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas akibat dihanyut ombak ketika air pasang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Ahmad Ammar Rafaeil Ahmad Ridtauden, 8, dijumpai selepas 45 minit lemas di pantai tersebut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yusri Mat Ghani berkata, anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian apabila menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.11 petang.
“Tiga daripada empat kanak-kanak itu sempat menyelamatkan diri ke kawasan tepi pantai manakala mangsa dihanyut ombak.
“Paras air laut ketika itu dianggarkan 0.5 meter. Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian sempat menarik kanak-kanak itu daripada terus hanyut ke tengah laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Yusri memberitahu, anggota bomba membuat bantuan pernafasan kepada mangsa, namun kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE