PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Islam menekankan hubungan erat antara solat dan zakat, menjadikan masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi pusat keprihatinan sosial serta keadilan ekonomi.
Dalam lawatan ke Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Ipoh, Perak hari ini, beliau menjelaskan al-Quran sentiasa mengaitkan solat dan zakat.
Katanya, kupasan Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan hubung kait ini mencerminkan peranan zakat sebagai institusi penting dalam sistem ekonomi Islam, terutama dalam membela golongan miskin dan terpinggir.
“Dalam sejarah Islam, pertama kali peperangan diisytiharkan bukan kerana tanah, harta, atau kuasa, tetapi bagi memerangi kelompok yang enggan membayar zakat, sekali gus melemahkan sistem sokongan kepada rakyat miskin.
“Ini menandakan betapa Islam menjulang tinggi kepentingan menegakkan keadilan sosial,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani terus mengutamakan agenda membantu golongan kurang berkemampuan dengan peruntukan RM13 bilion menerusi Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah bagi meringankan kos sara hidup golongan B40 dan M40.
“Ya, ini bukan penyelesaian mutlak, tetapi langkah penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak diabaikan.
“Usaha ini akan diteruskan dengan memperkukuh ekonomi, pendidikan serta membentuk rakyat dengan nilai dan akhlak yang mulia,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri singgah di Warung Pokok Belacan untuk bertemu rakyat dan mendengar sendiri isu serta kebimbangan mereka. – KOSMO! ONLINE