MACHANG – Mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam Sungai Kelantan di sini kelmarin dijumpai terapung dan tersangkut pada tiang jambatan baharu Kampung Joh di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 29 tahun ditemukan kira-kira pukul 4.30 petang tadi selepas hampir 72 jam operasi mencari lelaki itu dijalankan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam menjumpai mangsa ketika menjalankan operasi di jambatan tersebut.
Menurutnya, mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh ke dalam Sungai Kelantan.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan. Buat masa ini, tiada sebarang unsur jenayah yang dapat dikaitkan dengan kematian mangsa.
“Keluarga lelaki itu sudah membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Ahmad Shafiki memberitahu, operasi mencari mangsa ditamatkan petang ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE