MELAKA – Empat beradik di Kampung Pulau Gadong di sini berada dalam keadaan tertekan apabila mendakwa bapa mereka terkandas di Indonesia, manakala tiga daripadanya belum lagi mendaftar persekolahan ekoran kesulitan hidup.
Bercerita lanjut, Muhammad Zulfikar Daniel Sutrisno, 17, mendakwa, nasib mereka sekeluarga berubah apabila arwah ibunya, Eli Kabar, 52, pergi ke Indonesia pada Ogos 2019 untuk menjalani rawatan penyakit kanser tahap empat yang dihadapinya.
“Lima bulan kemudian, bapa, Sutrisno Musa, 54, menyusuri arwah ibu bagi mengikuti perkembangan kesihatannya. Malangnya, ibu kemudian disahkan meninggal dunia pada 30 Disember lalu.
“Keadaan semakin kacau apabila bapa pula terkandas di sana disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu. Lebih tertekan apabila saya dan dua adik Muhammad Zulhaikal Eltrimichal, 16, dan Nurdiana Melisa Fitri, 13, masih belum mendaftar sekolah,” dakwanya.
Muhammad Zulfikar Daniel mendakwa, mereka belum mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang di sini kerana tidak mampu membeli buku apatah lagi mengikuti pembelajaran online yang memerlukan gajet dan internet.
Dakwa Muhammad Zulfikar Daniel, dia cuba membantu keluarga dengan bekerja sebagai buruh binaan selama dua bulan ketika menumpang di rumah kakak sulung, Novi Margareta, 30, di Selangor pada November lalu.
“Saya dan kakak sedang berusaha mencari jalan untuk memastikan adik-adik dapat membeli keperluan pembelajaran,” dakwanya.
Sementara itu, Novi memberitahu, dia yang mempunyai dua anak berusia lima dan 10 tahun mengambil keputusan untuk berjauhan dengan suami buat seketika untuk membantu menyediakan keperluan asas adik-adiknya.
“Baru-baru ini saya telah jual motosikal untuk membeli barangan makanan, membayar sewa rumah tertunggak dan hutang piutang pada jiran,” dakwanya.
Terdahulu, nasib empat beradik itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan yang menyampaikan kit bantuan makanan termasuk wang tunai serta sebuah komputer riba untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.