IPOH – Kerajaan Pusat memperuntukkan RM25 juta untuk segera membaiki kerosakan infrastruktur yang terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu diluluskan atas dasar tanggungjawab terhadap rakyat yang terjejas akibat bencana alam itu.
“Ini pandangan (tindakan) yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim. Tapi ikut tanggungjawab. Jadi kita lakukan,” katanya semasa berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengarahkan pihak berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh jentera dan koordinasi berikutan situasi banjir di Sabah dan Sarawak yang semakin memburuk.
“Di Sabah, Sarawak pun saya minta NADMA segera luluskan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE