fbpx

Banjir jejas jalan Persekutuan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika melakukan tinjauan di kawasan terjejas ekoran banjir di Sarawak hari ini. Foto Facebook Alexander

PETALING JAYA – Beberapa laluan di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPB) terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak, termasuk jalan persekutuan yang menjadi laluan utama penduduk.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di Facebook berkata, beliau bersama pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turun padang pagi ini bagi meninjau keadaan semasa di beberapa lokasi yang masih terkesan akibat bencana tersebut.

Katanya, sebanyak empat lokasi dikenal pasti terjejas meliputi Pakej 03 dari Serian ke Sri Aman, Seksyen Selangau, Pusingan P di KM818 Seksyen Simpang Bakun dan Pakej 11 di Seksyen Pujut berhampiran Eastwood Golf & Country Club di KM938-940.

“Dari keempat-empat lokasi ini, didapati kedaan di Pakej 03 agak teruk terjejas disebabkan limpahan air sungai berdekatan laluan ini.

“Walaubagaimanapun, saya telah mendapat jaminan daripada pasukan bertugas laluan ini masih selamat digunakan dan keselamatan pengguna dijamin dengan pemantauan pegawai di lokasi,” katanya hari ini.

Dalam tinjauan tersebut, beliau turut melawat Kampung Tebakang Dayak di Serian, Kuching yang turut dilanda banjir.

Beliau menasihatkan penduduk dan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Setinggi penghargaan juga saya ucapkan kepada semua pasukan bertugas yang tidak henti-henti bertugas di waktu sukar ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI