fbpx

Taman tema tetap degil walaupun dikenakan 9 notis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung menaiki gelongsor air kaca di Shah Alam. - GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Pengurusan taman tema terkenal di Seksyen 7 di sini terus berdegil meneruskan aktiviti mereka meskipun telah diarahkan menutup tapak projek dan menggantung segala aktiviti di lokasi berkenaan.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, sebanyak sembilan notis kesemuanya telah dikeluarkan pihaknya terhadap pengurusan taman tema itu sejak 14 November tahun lalu.

Katanya, ini termasuk notis amaran menghentikan kerja serta merta dan merobohkan struktur yang tidak mematuhi peraturan selain menghentikan segera aktiviti hiburan (Glass Water Slide) di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat – tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a) pada 19 Januari lalu.

“Walaupun notis telah dikeluarkan, pemantauan semula mendapati bahawa pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan engkar terhadap arahan yang dikeluarkan.

“Oleh itu, Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang telah diberikan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBSA menegaskan bahawa setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ini termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada MBSA sebelum sebarang aktiviti atau pembinaan dijalankan.

Mengulas lanjut, MBSA menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang melibatkan pelampung jatuh yang menimpa pengunjung di sebuah taman tema terkenal pada malam 29 Januari lalu yang telah tular di media sosial.

“MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama dan komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat.

“Sehubungan itu, MBSA akan terus memantau situasi ini dengan lebih teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana – mana pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Sementara, tinjauan Kosmo! mendapati lokasi tersebut terus dikunjungi dan digunakan oleh pengunjung.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita cedera selepas terkena pelampung yang terjatuh dari penyangkut permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema popular tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam kelmarin itu, mangsa berusia 20-an tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan di sebuah poliklinik di Ken Rimba, Seksyen 16, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI