SHAH ALAM – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menolak permohonan mereka untuk menggantung prosiding perbicaraan yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.
Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan bersama afidavit sokongan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Menerusi notis usul yang diperolehi media, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pada 28 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh telah menolak permohonan mereka bagi menggantung prosiding perbicaraan .
Ia yang mana sementara menanti penyelesaian dan pelupusan penuh notis usul bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Mereka mendakwa permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan tidak dibenarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mana perbicaraan akan diteruskan pada 3 Februari hingga 7 Februari ini.
Mereka juga memohon supaya mahkamah mendengar permohonan tersebut dengan segera kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesan prejudis terhadap pasangan itu tidak dapat dipulihkan memandangkan ia melibatkan hak asasi serta prinsip keadilan.
Sementara itu menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan Zaim Ikhwan dan Ismanira, pasangan itu mendakwa mereka telah dinasihati peguamcara agar satu penggantungan prosiding harus diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya serta mengakui bahawa permohonan bagi membatalkan pertuduhan harus diputuskan terlebih dahulu.
Pasangan itu juga berkata adalah tidak wajar dan amat merugikan sekiranya kedua-dua proses perbicaraan dan permohonan membatalkan pertuduhan diteruskan serentak kerana ia akan memberi kesan prejudis kepada mereka kerana terpaksa menjalani perbicaraan.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan perbicaraan kes tersebut diteruskan pada 3 Februari ini.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum in, pihak pembelaan telah memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekaligus memohon dilepas dan dibebaskan. – KOSMO! ONLINE