PONTIAN – Hasrat seorang pendawai elektrik untuk memasak lemang pada Hari Raya Aidilfitri bersama abang iparnya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kampung Parit Jawa di sini semalam.
Adik mangsa, Mohamad Farhan Jamian, 27, berkata, abangnya, Allahyarham Mohamad Osman, 31, menyatakan hasrat itu kepada abang iparnya yang dikenali sebagai Hisham di rumahnya di Kampung Parit Bengok Hujung, di sini baru-baru ini.
Katanya, sebelum ini, arwah abangnya tidak pernah menyatakan hasrat untuk membuat lemang bagi menyambut hari raya, namun menyuarakan perkara itu ketika mereka berkumpul di rumah.
“Tiba-tiba sahaja arwah ajak abang ipar memasak lemang pada hari raya tahun ini, saya pun hairan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohamad Osman berlanggar dengan Nissan Sylphy dari arah Kayu Ara Pasong ke Parit Semerah selepas hilang kawalan.
Akibat perlanggaran itu, Mohamad Osman cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Pontian.
Tambah Mohamad Farhan, ketika kejadian Allahyarham abangnya dalam perjalanan ke Benut untuk bertemu dengan seseorang bagi kerja pemasangan elektrik. – KOSMO! ONLINE