WASHINGTON – Sukan luncur ais berkabung semalam selepas pesawat penumpang membawa sebilangan atlet dan jurulatih termasuk bekas pasangan juara dunia luncur ais dari Russia, Evgenia Shishkova serta Vadim Naumov terhempas ke dalam Sungai Potomac di Washington kelmarin.
Semasa kejadian, pesawat jenis Bombardier CRJ700 milik American Airlines yang membawa 64 orang itu bertembung di ruang udara dengan sebuah helikopter tentera ketika menghampiri Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington.
Sebuah badan induk kebangsaan sukan itu mengesahkan bahawa beberapa atlet luncur ais Amerika Syarikat (AS) yang menyertai satu kem latihan juga merupakan antara penumpang menaiki pesawat tersebut.
“Kami sangat sedih dengan tragedi ini,” kata badan induk tersebut.
Pihak berkuasa di AS tidak mengesahkan identiti mana-mana mangsa dalam nahas itu.
Namun, agensi berita TASS dan RIA di Russia memetik sumber yang enggan identitinya didedahkan sebagai berkata, Shishkova dan Naumov berada di dalam kapal terbang itu.
Pesawat sama turut membawa Inna Volyanskaya iaitu bekas atlet luncur ais yang bertanding untuk pasukan kebangsaan negara Kesatuan Soviet. – AFP