JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tetap akan membariskan kesebelasan terbaik ketika melayan kunjungan Terengganu FC dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini walaupun dikatakan sudah ‘sebelah kaki’ ke final.
Bidoglio mahu Harimau Selatan mempamerkan taring mereka dengan menambah derita buat skuad Penyu itu setelah selesa mencatatkan kemenangan 0-4 di tempat lawan.
Katanya, JDT perlu mengekalkan corak permainan pantas bagi meneruskan momentum kemenangan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“Kita tidak akan mempertahankan rentak permainan hanya kerana mempunyai kelebihan selesa dan perlu beraksi dengan kekuatan penuh menentang TFC.
“Kita tidak boleh terlalu selesa dan memberi tumpuan penuh pada aksi 90 minit itu, tambahan pula kita beraksi di hadapan penyokong sendiri yang mahu menyaksikan aksi terbaik JDT,” katanya.
Pada aksi separuh akhir pertama bulan lepas, Arif Aiman muncul wira apabila meledak dua gol manakala Bergson da Silva dan Romel Morales melengkapkan kejayaan cemerlang JDT di tempat lawan.
Bidoglio berkata, keputusan itu amat membanggakan setelah berdepan dengan pasukan yang ramai pemain bagus yang memberi tentangan hebat.
Menurutnya, keputusan itu membangkitkan semangat JDT untuk meneruskan kemaraan ke pentas akhir sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi.