SEREMBAN – Sepasang kekasih kelihatan sugul ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh Nurul Ain Haslan, 19, dan Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi perempuan.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.30 pagi sehingga pukul 4 petang di sebuah rumah di taman perumahan kawasan Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Januari lalu.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat, laporan kimia, laporan forensik, laporan perubatan penuh dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Februari ini di Mahkamah Majistret Port Dickson dan tiada jaminan ditawarkan berikutan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
22 Januari lalu, media melaporkan sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun dan 21 tahun ditangkap polis di dua lokasi berasingan di daerah ini malam semalam selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada bayi tersebut. – KOSMO! ONLINE