SHAH ALAM – Kelicikan kumpulan penyeluk saku dikenali Geng Nguyen mencuri telefon bimbit jenis iPhone di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang tumpas selepas dicekup, baru-baru ini.
Kesemua suspek termasuk tiga warga Vietnam dan seorang warga Jordan berusia 31 hingga 61 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Januari lalu di pusat beli- belah di Serdang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek Vietnam itu telah memasuki negara ini pada Disember dan 17 Januari lalu.
Menurutnya, mereka dibantu lelaki warga Jordan berkenaan sebagai pemandu dalam melakukan jenayah mereka.
“Kumpulan yang diketuai wanita Vietnam berusia 46 tahun itu melakukan jenayah dengan memperdayakan atau mengalihkan perhatian mangsa yang ketika itu sedang membeli pakaian sebelum mengambil telefon bimbit dalam beg tangan wanita.
“Mangsa hanya menyedari selepas melakukan semakan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Hussein menambah, hasil siasatan dalam mendapati selepas seminggu melakukan jenayah itu, mereka akan pulang dan menjual telefon bimbit berkenaan di Vietnam pada harga kira-kira RM3, 000.
Kumpulan itu telah mencuri 13 telefon bimbit dengan 12 daripadanya adalah jenis iPhone.
Ujarnya, semakan mendapati lapan kes kecurian direkodkan di Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul manakala bakinya masih dalam siasatan.
“Kita percaya suspek bergerak di pusat beli-belah berdasarkan nota tulisan senarai-senarai pusat beli-belah.
“Kes disiasat mengikut 340 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE