JAKARTA – Berpuluh-puluh penunjuk perasaan daripada pelbagai kumpulan hak asasi manusia membaling telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia, lapor saluran berita Metro TV semalam.
Hampir 100 ahli kumpulan aktivis dikenali sebagai Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) dan Parti Buruh berkumpul dalam demonstrasi itu kelmarin.
Tindakan mereka dianggap sebagai protes terhadap kes tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu sehingga menyebabkan seorang terbunuh dan empat lagi cedera.
“Kami mendesak pemerintah Malaysia untuk mengendalikan kes ini secara adil. Polis yang menembak mati pekerja imigran Indonesia harus dipenjara.
“Mereka (warga Indonesia) adalah manusia biasa yang tidak melawan. Mereka juga bukan penjenayah tetapi ditembak dengan kejam,” kata seorang penunjuk perasaan bernama Rifki.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Indonesia telah menghantar jenazah warga Indonesia yang ditembak mati oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Basri, ke rumahnya di Pulau Rupat, Bengkalis kelmarin.
“Jenazah tiba sekitar pukul 3.35 (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Syarif Kasim II Pekanbaru dari Kuala Lumpur dengan penerbangan AK429.
“Jenazah juga dikebumikan pada hari yang sama,” tambah kementerian berkenaan.
Kementerian Luar Negeri Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia akan terus memantau keadaan empat mangsa yang masih berada dalam rawatan. – AGENSI