PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas tragedi nahas penerbangan yang berlaku di Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan, Washington, D.C, semalam.
Anwar berkata, keluarga dan sahabat di Amerika Syarikat, Rusia, China, Filipina dan Jerman kini meratapi kehilangan insan tersayang, sementara pasukan penyelamat berusaha gigih dalam operasi pemulihan.
“Lebih memilukan apabila mengetahui bahawa antara mangsa adalah atlet luncur ais berbakat yang mempunyai masa depan begitu cerah.
“Dalam saat yang penuh dukacita ini, saya berharap keluarga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kesedihan yang amat besar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap mereka yang terkesan oleh tragedi ini.
“Rakyat Malaysia turut bersimpati dan menzahirkan ingatan kepada mereka,” tambahnya.
Semalam, media antarabangsa melaporkan, penerbangan American Airlines Penerbangan 5342 yang membawa 64 penumpang berlanggar dengan sebuah helikopter tentera membawa tiga penumpang berhampiran lapangan terbang berkenaan lalu jatuh ke dalam Sungai Potomac.
Nahas berkenaan turut mengorbankan pasangan juara dunia luncur ais Rusia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov serta 14 pemain luncur ais Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE