RANTAU PANJANG – Cubaan seorang penyeludup untuk membawa masuk sebanyak 1.2 kilogram (kg) ganja tidak berhasil apabila kegiatannya dikesan pihak Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) di tebing Sungai Golok di pangkalan haram Kubur Lama di sini kelmarin.
Bahan terlarang itu ditinggalkan di lokasi tersebut kira-kira pukul 6 pagi semasa anggota PGA menjalankan operasi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pada awalnya pihaknya melihat seorang lelaki di kawasan pangkalan haram itu semasa sedang menjalankan rondaan.
Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA. Pemeriksaan di lokasi menjumpai beberapa bungkusan berisi daun ganja dengan anggaran berat 1.2 kg.
“Kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM4,000 itu dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan tu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE