fbpx

Malaysia peneraju perkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK lelaki berlari sambil mengibarkan bendera Palestin di Bureij, tengah Semenanjung Gaza baru-baru ini. - AFP

PETALING JAYA – Usaha Malaysia membangunkan semula Gaza menerusi pembinaan sekolah, hospital dan masjid bukan sekadar bantuan kemanusiaan, tetapi bukti komitmen negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adli berkata, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mencerminkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa.

“Usaha ini bukan hanya mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap kesejahteraan rakyat Palestin, tetapi juga menegaskan tanggungjawab moral kita dalam membantu masyarakat yang terkesan oleh konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Mohamed Azam menjelaskan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan strategik memperkukuh hubungan dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi yang mempunyai kapasiti ekonomi kukuh.

“Melalui jaringan ini, usaha pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan secara sistematik dan lebih mampan.

“Pada peringkat ASEAN, Malaysia juga boleh menggerakkan inisiatif serantau yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh peranan negara-negara jiran dalam menyokong kestabilan dan pembangunan semula Palestin,” ujarnya.

Di peringkat domestik Dr. Mohamed Azam menegaskan bahawa sokongan dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat merupakan elemen penting dalam menjayakan misi pembangunan semula Gaza.

“Penglibatan pelbagai pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad, dan Tenaga Nasional Berhad, memainkan peranan penting dalam menyediakan sumber kewangan, kepakaran teknikal, serta membina jaringan strategik untuk menjayakan inisiatif ini.

“Selain itu, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan juga wajar diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik dan menggerakkan jaringan sukarelawan bagi mempercepatkan penyampaian bantuan secara berkesan,” jelasnya.

Katanya, IKIM turut menyambut baik penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta diurus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan secara berkesan, berstruktur dan berkesinambungan melalui penyelarasan menyeluruh antara agensi berkaitan.

Beliau menegaskan bahawa IKIM kekal komited dalam menyokong dan memperkukuh segala usaha ke arah pembangunan semula Gaza.

“(Ia) selaras dengan prinsip keadilan sosial, kemanusiaan sejagat, serta tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat global yang lebih aman dan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI