STOCKHOLM – Seorang lelaki warga Iraq yang membakar kitab suci al-Quran dua tahun lalu ditembak mati di Sweden, beberapa jam sebelum menerima keputusan mahkamah, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Salwan Momika, 38, terbunuh di sebuah apartmen di bandar Södertälje dekat Stockholm pada petang kelmarin.
Momika sebelum ini membakar al-Quran dalam demonstrasi awam di luar Masjid Pusat Stockholm pada 2023.
Polis Stockholm berkata dalam satu kenyataan, lima individu yang terlibat sudah ditahan selepas Momika ditembak mati.
“Polis dikerahkan ke sebuah apartment di Hovsjö selepas menerima laporan tembakan sekitar pukul 11.11 malam (waktu tempatan).
“Momika ditemui dengan kesan tembakan dan dibawa ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia semalam,” kata polis.
Media tempatan melaporkan bahawa Momika sedang melakukan siaran langsung di platform media sosial semasa kejadian.
Mahkamah Stockholm dijadualkan semalam untuk menjatuhkan hukuman ke atas Momika dan seorang lagi defendan dalam perbicaraan jenayah berkaitan ‘kesalahan menghasut terhadap kumpulan etnik’ sebanyak empat kali pada musim panas 2023.
“Keputusan itu bagaimanapun ditangguh selepas salah seorang defendan meninggal dunia,” tambah mahkamah. – AGENSI