KEDATANGAN Hassenah Kartaji, 65, ke Masjid Asy-Syakirin di KLCC, Kuala Lumpur pada pagi itu hanyalah dengan satu tujuan.
Wanita itu mahu turut serta dalam melaksanakan solat tasbih yang diadakan khusus untuk wanita di masjid itu.
“Sebelum ini saya hanya lakukan solat tasbih secara bersendirian.
“Ini adalah kali pertama saya menunaikan solat tasbih secara berjemaah dan ia merupakan sesuatu yang menarik apabila dapat dilakukan secara beramai-ramai sesama kaum Hawa,” katanya kepada K-Wanita.
Hassenah baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk mengikuti anaknya bagi menyertai program solat tasbih yang diadakan di masjid di tengah ibu kota itu.
Hassenah berkata, dia gembira melihat ada anak-anak muda yang turut serta program solat tasbih berjemaah sebegitu.
“Bagi saya, program sebegini wajar diadakan selalu kerana ia sesuatu yang bermanfaat. Malah, ia juga memberi peluang kepada generasi muda terutamanya untuk belajar solat tasbih yang merupakan salah satu solat sunat yang digalakkan,” katanya.
Seorang lagi wanita yang berpeluang mengikuti program, Aina Hishamuddin, 25, berkata, dia mengetahui tentang penganjuran program solat tasbih itu melalui media sosial.
“Terdetik di hati saya untuk turut serta apabila melihat tentang penganjuran program yang penyertaannya hanya melibatkan wanita.
“Saya mengakui sebelum ini saya tidak pernah mengerjakan solat tasbih dan ini adalah kali pertama saya berbuat demikian.
“Saya gembira apabila menyertai program ini dan saya akan cuba untuk selalu menunaikan solat sunat ini,” ujarnya.
Penganjuran program dinamakan Solat Tasbih bertemakan ‘semua putih’ itu ternyata mendapat sambutan apabila hampir 500 wanita datang untuk bersama-sama mengerjakan solat sunat tersebut.
Idea untuk menganjurkan program yang julung kali diadakan itu telah dicetuskan oleh seorang wanita, Noor Amy Ismail.
Menurut Amy yang tinggal di Kuala Lumpur, pada mulanya dia hanya ingin mengadakan solat tasbih di rumahnya dengan jemputan hanya 30 orang.
“Saya menyiarkannya di sosial media untuk pendaftaran dan sambutan yang diterima di luar imaginasi saya.
“Malah, ada seorang wanita yang berumur lebih 60 tahun menyatakan dia baru sahaja belajar memakai tudung dan solat serta teringin untuk datang.
“Selain itu ada juga seorang wanita yang sedang berdepan kanser tahap akhir dan tidak tahu lama mana lagi akan hidup serta tidak pernah melakukan solat tasbih ingin turut serta,” katanya.
Tambahnya, itu semua telah menjentik hatinya dan akhirnya dengan izin Tuhan program solat tasbih itu berjaya diadakan di Masjid Asy-Syakirin yang merupakan masjid kariahnya.
Perjalanannya untuk menganjurkan program solat tasbih pada pukul 10 pagi itu juga dipermudahkan dan ramai insan berhati mulia turut memberi sokongan dengan menaja makanan, ‘door gift’ dan sebagainya.
Amy berkata, biarpun kebiasaannya orang menunaikan solat tasbih berjemaah bersama program qiyamullail, dia memilih dibuat di siang hari berdasarkan beberapa faktor.
“Ia memudahkan kaum wanita dan ibu-ibu untuk menghadirinya kerana mereka mungkin mempunyai tanggungjawab keluarga pada waktu malam.
“Selain itu, lebih selamat untuk wanita bergerak dan menghadiri program pada waktu siang serta memberikan pilihan masa yang lebih fleksibel kepada peserta,” katanya.
Bahkan, pihak penganjur turut menyediakan ruangan penjagaan untuk kaum ibu yang mengikuti program meletakkan anak mereka.
“Alhamdulillah, impak daripada program ini percaya atau tidak kami juga telah terima jemputan daripada masjid-masjid lain untuk menganjurkan program sama,” katanya.
Sementara itu, Ustazah Nazirah Abu Bakar yang memimpin solat tasbih pada program tersebut berkata, mereka menerima semua wanita yang ingin menyertai program itu.
“Pada saya, hidup kita ini jika Allah mahu temukan kita dengan kebaikan Allah akan bukan jalan-jalan untuk kita bertemu dengan orang-orang baik,” ujarnya.
Ustazah Nazirah menjelaskan, kelebihan solat tasbih ini juga ada disebut dalam hadis di mana sesiapa yang mengerjakannya, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.
“Kita dianjurkan untuk mengerjakannya kerana ia solat yang panjang dan memberi ruang kepada kita untuk berlama-lamaan dengan Allah.
“Untuk mengerjakannya solat tasbih ini tidak kurang 30 minit bagi empat rakaat.
“Dalam solat ini kita baca tasbih sebanyak 300 kali dan setiap pergerakan ada bacaan tasbih dan sebab itu tempoh pelaksanaannya agak panjang,” jelasnya.