KUALA LUMPUR – The Sage @ Sixth restoran yang beroperasi di UTM Hotel & Residence bakal mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelang bulan Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings Sdn. Bhd. (UTM Holdings), Ahmad Kamil Kushairi berkata, proses mendapatkan pensijilan halal tersebut telah berlangsung dengan lancar selama enam bulan dan pihaknya teruja dengan perkembangan tersebut sekali gus bakal meningkatkan imej restoran berkenaan.
Lebih menarik, ia juga bersesuaian dengan persediaan syarikat untuk menawarkan bufet Ramadan mulai bulan Mac di restoran tersebut.
“Selepas kejayaan memperoleh sijil halal, kami pula akan meneruskan langkah seterusnya untuk mendapatkan penarafan tiga bintang bagi hotel UTM Hotel & Residence,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas majlis pelancaran Budaya Sarapan Malaysia di hotel berkenaan di sini baru-baru ini.
Restoran UTM Hotel & Residence adalah salah satu cabang perniagaan hospitaliti milik UTM Holdings.
Ahmad Kamil menjelaskan, hotel yang terletak di Jalan Maktab berdekatan dengan beberapa destinasi popular terkenal di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru dan juga KLCC kini memiliki kadar penginapan sekitar 70 peratus setiap bulan.
Premis yang memiliki 500 unit bilik itu terbahagi kepada 300 unit disewakan kepada pelajar antarabangsa dan ekspatriat pada kadar bulanan serendah RM1,200 manakala baki 200 unit bilik lagi ditawarkan kepada umum untuk bercuti bersama keluarga pada harga serendah RM180 semalam.
Ia boleh ditempah di platform percutian online popular.
Sementara itu, berhubung majlis tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan bahawa budaya sarapan pagi mendapat tempat dalam senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). -KOSMO! ONLINE