Apakah hukum bagi sesetengah orang yang gemar menunjukkan gambar perut memboyot di media sosial atau biasanya dipanggil
baby bump?
JAWAPAN: Aurat menurut syarak adalah anggota tubuh yang wajib ditutupi dan apa-apa yang diharamkan melihat kepadanya. (Rujuk: Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/633).
Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/185). Jadi, aurat adalah bahagian tubuh wanita atau lelaki yang wajib ditutupi dan haram untuk dibuka atau diperlihatkan kepada orang lain.
Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”. (Surah al-Nur, 31)
Di sisi mazhab Syafi’i, terdapat dua pandangan dalam menentukan kadar aurat wanita.
Pandangan pertama: Seluruh tubuh wanita adalah aurat.
Imam al-Bujairimi berkata: “Aurat wanita yang merdeka iaitu di dalam solat. Adapun auratnya di luar iaitu di sisi lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya termasuk muka dan kedua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah”. (Rujuk al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi, 1/450).
Pandangan kedua: Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.
Disebutkan di dalam kitab Nihayah al-Mathlab. Berdasarkan firman Allah SWT: “Kecuali yang zahir daripadanya.”
Kebanyakan para ahli tafsir berkata: “Yang dimaksudkan di sini adalah bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan. Hal ini disebabkan kedua-duanya boleh dibuka ketika solat. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan bagi para wanita untuk menutupnya”. (Rujuk: Nihayah al-Mathlab, 12/31)
Justeru, jelas sekali bahawa baby bump atau kawasan perut wanita mengandung termasuk dalam aurat yang wajib ditutup oleh para wanita. Para ulama menggariskan syarat-syarat menutup aurat adalah seperti berikut:
Pertama, pakaian hendaklah menutup seluruh aurat wanita. Kedua, pakaian tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Sehubungan itu, baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat.
Para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian bersesuaian iaitu labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
Selain itu, hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam. Apatah lagi, sekiranya gambar ditunjukkan dalam keadaan wanita berkenaan memakai pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk perut.
Hal ini juga boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.