PERKEMBANGAN pemain tempatan hanya akan dapat direalisasikan sekiranya semua pihak mampu memainkan peranan lebih besar dalam ekosistem pembangunan bakat baharu.
Mengambil contoh perjalanan karier Arif Aiman Hanapi, pemegang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) 2021, 2022 dan 2023 itu dianggap bertuah kerana dikelilingi individu yang mahir dalam hal bola sepak.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan usaha untuk meniru usaha Arif Aiman belum cukup sekiranya seseorang pemain tidak ada ‘tulang belakang’ yang mampu beri sokongan daripada belakang.
“Sudah pasti dia (Arif Aiman) harus dijadikan contoh, mungkin juga dalam latihan dia amat bersungguh-sungguh. Kalau boleh biarlah pemain tempatan yang ada ini ikut jejak dia.
“Namun, jika sekadar jejak sahaja tak boleh, kita mesti ikut apa lagi yang ada di belakang dia seperti latihan yang dia buat, penjagaan diri, disiplin dan siapa pula di belakang dia. Siapa penasihat dia itu penting.
“Kalau kita berdisiplin tetapi penasihat di belakang tak bagus, tak guna juga. Tidur tak betul, makan tak betul, latihan jam 5, datang jam 4.55 dan tak mahu buat latihan tambahan,” katanya.