fbpx

‘Kalau tak menang, saya kecewa, menangis sebab terlalu berharap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERNIE mengakui pernah bersedih kerana sering gagal membawa pulang trofi, namun pengalaman sebegitu sangat mematangkan. – ISKANDAR ISHAK

MENCAPAI satu demi satu kejayaan menguntumkan semakin banyak bunga bahagia dalam hidup penyanyi genit bernama Ernie Zakri. Jika dibentangkan dalam bentuk resume, pencapaian wanita bersuara lantang itu dalam arena muzik sebenarnya sangat impresif.

Dua kali ditabalkan sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL), itu bukan sembarangan pencapaian.’Namun, di sebalik gelaran itu, Ernie mengakui pernah berdepan fasa jiwa sensitif dan emosi setiap kali berentap di pentas AJL.

Kenangan bersendirian di bilik, menangis kerana gagal membawa pulang trofi, menjadi sebahagian episod perjalanan seninya.

“Dahulu, saya sangat sensitif. Kalau tak menang, saya sedih dan rasa kecewa. Pernah juga menangis bersendirian sebab terlalu berharap. Tetapi seiring usia dan pengalaman, saya belajar sesuatu yang lebih penting.

“AJL kini saya anggap sebagai ruang menzahirkan karya. Persembahan perlu dilakukan dengan sepenuh jiwa dan seikhlas hati. Apa sahaja keputusan, biarlah itu datang kemudian.

“Tetapi tentulah setiap manusia yang masuk mana-mana pertandingan, tak akanlah sudah pakai baju dan bersolek cantik-cantik tidak mengharapkan sesuatu untuk dibawa pulang,” katanya kepada HibGlam.

Bagi pelantun lagu Ku Bersuara itu, pengalaman mengajarnya fokus kepada apa yang boleh dikawal, iaitu memberikan persembahan terbaik.

Dia enggan memikirkan sesuatu di luar kawalan yang akhirnya mengganggu tumpuan.

“Paling utama ialah memberikan yang terbaik di pentas. Kalau fikir terlalu banyak, pasti mengacau fikiran.

Tetapi sebagai manusia biasa, harapan untuk menang itu tetap ada. Bezanya sekarang, saya tidak mahu terbeban dengan perasaan itu,” jelasnya.

Isteri kepada penyanyi Syamel itu itu juga menepis anggapan bahawa pentas AJL sudah menjadi medan selesa buatnya.

Menurut juara Bintang RTM 2009 itu, setiap kali menyertai pertandingan, dia dan pasukan perlu bekerja keras untuk menghasilkan persembahan luar biasa.

“Tidak adil kalau orang anggap AJL ‘makanan’ saya. Proses di sebalik tabir sangat mencabar. Kami memerah otak untuk memastikan setiap persembahan memenuhi ekspektasi penonton.

“Tetapi saya juga tidak lupa untuk menjadi diri sendiri. Kalau terlalu cuba memenuhi jangkaan semua orang, kepala boleh pening. Sebab itu, setiap tahun adalah cabaran baharu buat saya,” tutupnya.

AJL39 bakal menyaksikan Ernie membawakan lagu Aura hasil ciptaannya sendiri bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat. Bersaing bersama sembilan lagi finalis hebat seperti Diam (Hael Husaini), Puas Sudah (Aina Abdul), Hening Rindu (Marsha), Aura (Ernie Zakri), Terus Bersinar (Hafiz Suip) dan Sengaja (Amir Masdi). Turut berentap lagu Saksama (Akim & The Majistret), Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz) dan Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI