KAJANG – Polis Selangor sedang menyiasat kes penipuan melibatkan tawaran bantuan bagi menurunkan seksyen hukuman di mahkamah sehingga menyebabkan seorang wanita kerugian sebanyak RM95,180.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang bekerja di Malaysia Airlines.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, pada bulan Disember lalu, mangsa telah berjumpa dengan suspek untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan telah menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
“Suspek telah beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkan mangsa bahawa suspek boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Mangsa telah bersetuju dan membuat pembayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang telah diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.
Menurut Hussein, suspek adalah seorang wanita berusia lingkungan 28 tahun.
“Setelah pembayaran dibuat oleh mangsa, mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan yang ditawarkan dan tampil membuat laporan polis pada 28 Januari.
“Sehubungan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan dan menasihati kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang ditawarkan dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE.