PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan, Cik Epal sekali lagi menjadi perhatian apabila mendedahkan senarai harga yang dikenakan bagi memberi ulasan atau tampil mempromosikan mana-mana produk.
Menerusi senarai itu, Cik Epal mengenakan bayaran bermula dari RM20,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada kandungan promosi yang diinginkan.
Katanya, harga itu didedahkan berikutan terlalu ramai pihak bertanya mengenai harga yang dikenakan sekiranya mahu pempengaruh media sosial itu membuat kandungan mengenai produk mereka.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna terkejut melihat senarai harga tersebut namun tidak menafikan impak yang bakal diperoleh berikutan populariti pempengaruh itu ketika ini.
“Tak silap haritu dia ada kata dia memang malas nak buat review atau jadi duta. Jadi, dia buatlah macam kalau orang nak dia jadi duta dia letak harga RM250,000. Mungkin kononnya harga tak masuk akal jadi orang tak amik dia. Tapi ada pula orang sanggup bayar,” kata Ceghaa.
“Tengok dekat instagram Jakel, Cik Epal punya video semua sejuta tontonan. Artis lain tak ada pun yang sampai sejuta,” kata SN.
“Ramai terlalu baru dalam mengenal dia. Walaupun rasa tak wajar harga tu tapi sebenarnya dia dah lama wujud dalam bidang ini dan memang ada pun yang sanggup bayar harga itu,” kata Iylia.
“Sebenarnya ini baru harga ‘macro influencer’, kau orang belum tahu harga ‘mega influencer’ lagi,” kata Jazz. – KOSMO! ONLINE