Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM – Sebanyak 3,889 kes kebakaran dicatatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor sehingga Jun tahun ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Hafisham Mohd. Noor berkata, jumlah kes kebakaran tahun ini menurun berbanding tahun lepas dalam tempoh yang sama iaitu sebanyak 4,329 kes.
“Sehingga Jun ini, kebakaran bangunan mencatatkan kes sebanyak 482 kes, berbanding 561 kes pada tahun lalu.
“Manakala bagi kebakaran hutan pula, 247 kes dicatatkan pada tahun ini berbanding 222 kes pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JBPM Selangor di sini hari ini.
Kata Hafisham, kebakaran paling besar berlaku di Selangor pada tahun ini adalah melibatkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, Banting yang mana hutan itu terbakar sebanyak dua kali.
Menurutnya, kebakaran pertama berlaku pada 27 Februari sehingga 11 Mac manakala kebakaran kedua berlaku pada 18 April sehingga 24 April.
“Kebakaran berlaku di tempat yang sama tetapi lokasi yang berbeza dengan keluasan kawasan kebakaran pertama lebih besar daripada kebakaran kedua iaitu 72 hektar.
“Sebanyak 78 anggota bomba yang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran pertama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hafisham menasihatkan orang ramai supaya membeli alat pemadam api kecil sebagai langkah pencegahan kebakaran. – K! ONLINE