MELAKA – Seorang peguam hanya mampu ‘gigit jari’ apabila ditipu sebanyak RM18,243 oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi janji temu membabitkan sindiket pelaburan emas tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 27 tahun itu mendakwa, dia telah mengenali wanita tersebut menerusi aplikasi janji temu pada 26 November lalu.
Katanya, dalam tempoh perkenalan, wanita tersebut telah mengajaknya menyertai pelaburan emas yang menjanjikan pulangan berganda setiap bulan.
“Mangsa mendakwa dia mengenali wanita dari China itu menerusi satu aplikasi janji temu dan semasa berkenalan, wanita berkenaan telah mengajaknya untuk membuat pelaburan emas.
“Peguam tersebut kemudian bersetuju dan telah melakukan pemindahan wang secara berperingkat sebanyak enam kali ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah RM18, 243,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun, sehingga kini mangsa mendakwa dia tidak mendapat sebarang keuntungan yang dijanjikan termasuk wang modal juga tidak dikembalikan.
“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di sini semalam.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sundra Rajan berkata, sehubungan itu pihak polis sekali lagi ingin menasihatan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan dengan iklan dan tawaran menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.
“Semakan boleh dibuat melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi “check scammers ccid ” di Playstore supaya dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” katanya. – K! ONLINE