REMBAU – Seorang jurutera tapak maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh belakang kereta yang mengalami masalah tayar pancit di lorong kecemasan di Kilometer 237.9, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa, Shafhan Latiff Nasaruddin, 40, yang beralamat di Kampung Tanjung Rimau Dalam, Alor Gajah, Melaka disahkan maut susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda ADV 160 ditunggang mangsa dan kereta jenis Kia Optima dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun bersama isteri serta anak berusia empat tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang dan sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kenderaan.
“Dipercayai pemandu sedang meletakkan kenderaannya di lorong kecemasan kerana tayar pancit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal jatuh di atas jalan dan maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE