PETALING JAYA – Proses permohonan permit masuk bagi pasangan warganegara yang ingin mendapatkan taraf pemastautin tetap (MYPR) kini sedang melalui fasa penambahbaikan dan dijadualkan berkuat kuasa mulai 31 September ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, ia selari dengan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan dasar-dasar yang adil dan efisien dilaksanakan demi kebajikan semua pihak.
Jelasnya, antara langkah yang digariskan adalah penyelarasan tempoh perkahwinan, pasangan kepada warganegara yang memohon permit masuk perlu mencapai tempoh minimum tiga tahun perkahwinan dan memegang pas lawatan (sosial) selama sekurang-kurangnya satu tahun.
Katanya, ia bertujuan memastikan proses pemohonan lebih teratur dan relevan dengan keperluan institusi kekeluargaan.
“Selain itu, pemendekan tempoh pemprosesan, piagam pelanggan telah diperkemas dengan menetapkan tempoh pemprosesan permohonan baharu kepada enam bulan, memberikan kepastian kepada pemohon dan mempercepatkan prosedur,” katanya hari ini.
Bagi pengecualian penilaian sistem mata, KDN berkata, pihaknya akan mengecualikan pelaksanaan sistem mata bagi kategori pasangan warganegara.
“Sebaliknya, faktor seperti tempoh perkahwinan dan bilangan anak akan diambil kira dalam mempertimbangkan kelulusan, bagi memelihara kebajikan keluarga yang sah dan tulen,” ujarnya.
Penambahbaikan ujar kenyataan itu, mencerminkan komitmen KDN dalam mendukung institusi kekeluargaan, seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang menitikberatkan belas ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan.
“Dengan langkah-langkah ini, KDN yakin ia akan dapat meningkatkan kepercayaan terhadap sistem permohonan permit masuk dan memberikan manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE