DUNGUN – Angan-angan seorang ejen pelaburan untuk mengaut keuntungan 150 kali ganda lebur setelah dia kerugian RM347,000 akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang menyedari tertipu apabila tidak menerima pulangan lumayan dijanjikan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata, lelaki itu memulakan pelaburan awal RM20,000 pada bulan Mac tahun lalu.
“Mangsa mendakwa suspek mendakwa syarikat skim pelaburan terbabit menjanjikan keuntungan kononnya 150 kali ganda.
“Keuntungan kononnya boleh dikeluarkan setiap hari mengikut hari pelaburan itu didagangkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, mangsa bertambah yakin apabila diberikan surat akad pelaburan oleh suspek yang turut ditemuinya secara bersemuka.
Beliau berkata, ejen pelaburan itu yang percaya telah membuat pelaburan keseluruhan RM347,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank berbeza menerusi 19 transaksi.
“Begitupun mangsa mula menyedari sesuatu tidak kena apabila bayaran keuntungan tiba-tiba dihentikan setengah jalan. Suspek juga gagal dihubungi setelah dua minggu berjanji untuk melunaskan semula keuntungan tertunggak pada bulan September 2024,” katanya.
Maizura berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE