KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada isteri pelawak dan pelakon Along Cham, Afreena Suhaimi, berhubung kes penipuan melibatkan dana berjumlah hampir RM100,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan tersebut dibuat oleh isteri selebriti itu di Kajang, Selangor.
“Isterinya (Afreena) membuat laporan bahawa dia telah ditipu oleh seseorang. Kes berkenaan sedang disiasat oleh polis,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Afreena membuat laporan polis semalam terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika, atas dakwaan menipu wang sebanyak RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena menyatakan keyakinannya bahawa kebenaran akan terungkap selepas laporan tersebut dibuat.
“Selesai buat laporan polis. Seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran yang sama, dia turut berkongsi tangkap layar melibatkan seorang pempengaruh yang dipercayai turut menjadi mangsa penipuan individu berkenaan.– KOSMO! ONLINE