fbpx

Wanita ditahan miliki 1,800 biji pil kuda, 520 gram heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheik Azhar (kiri) menujukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di tiga lokasi di Pasir Mas malam tadi.

PASIR MAS – Seorang wanita ditahan selepas dipercayai memiliki sebanyak 1,800 biji pil kuda dan 520 gram heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Slow Machang di sini malam tadi.

Polis membuat serbuan di rumah itu pada pukul 11 malam dan mendapati dadah bernilai RM278,000 berada dalam milikan ibu kepada seorang anak itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, selain dadah, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal yang dianggarkan berjumlah RM40,000.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik berhampiran kawasan dapur, kita telah menjumpai satu kotak polisterin yang mengandungi dua buah tin tidak berpenutup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Sheik Azhar memberitahu, pemeriksaan di dalam bekas tin pertama telah menjumpai 120 botol plastik mengandungi putih disyaki dadah jenis heroin.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin kedua pula membawa kepada penemuan sebanyak 1,800 biji pil kuda.

“Ujian saringan air kencing mendapati wanita itu negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ketika serbuan, suspek bersama anaknya berusia lima tahun berada di dalam rumah berkenaan manakala suaminya tiada di rumah,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung rampasan dadah itu masih dijalankan oleh polis.

Mengulas lanjut, menurut Sheik Azhar, polis turut merampas 1,000 biji pil kuda dan 5.19 gram dadah dipercayai syabu dalam dua serbuan berasingan pada hari yang sama.

Katanya, dalam serbuan pertama di Kampung Gaung pada pukul 2 petang, polis berjaya merampas 1,000 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Dalam serbuan kedua di Kampung Tal Tujoh pula, kita merampas 5.19 gram dadah jenis syabu selepas menahan seorang lelaki dalam sebuah kereta pada pukul 9.40 malam.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM350,000,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI