PUTRAJAYA – Pelakon dan pelawak, Along Cham terharu dengan layanan baik yang diterima daripada seluruh warga kerja Penjara Sungai Buloh sepanjang tempoh tahanan sebagai Orang Kena Tahan (OKT) baru-baru ini.
Menurut Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dia tidak melalui pengalaman buruk sebaliknya pihak penjara sentiasa memberi sokongan sehingga dibebaskan pada Isnin lalu.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Penjara Sungai Buloh yang sentiasa memberi senyuman kepada saya. Ini memang satu rahmat.
“Di sana, duit tidak bernilai tetapi sokongan moral menjadi vitamin dan kekuatan sehingga saya dibebaskan.
“Saya masuk sana dalam keadaan longlai. Bila seorang anak dan bapa yang tiba-tiba berada dalam situasi ini, siapa sahaja yang tak berasa lembik,” katanya kepada kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.
Bintang filem Adnan Sempit itu juga tidak dapat menahan sebak apabila terkenang momen manis menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 dalam penjara pada 19 Januari lalu.
“Perkara paling menyeronokkan ketika di sana, sewaktu hari lahir saya para OKT lain sanggup mengumpul roti penjara untuk dijadikan sebiji kek untuk saya.
“Mereka meletakkan coklat dan tulis nama saya pada kek tersebut. Ramai menyanyikan lagu hari lahir dan kek itu diletakkan dalam sel saya.
“Itu antara memori yang tidak akan dilupakan. Ketika orang luar lihat mereka ini seperti tiada harapan, anda silap. OKT belum jatuh hukum dan hakikatnya semua yang ditahan saling memberi semangat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Along menganggap semua ujian yang ditempuh sejak tahun lalu sebagai titik permulaan untuk menjadi insan lebih baik.
“Semua yang berlaku ini ada asbabnya seperti hubungan dengan ibu yang juga ‘syurga’ saya kembali erat. Saya tak anggap perkara ini bala atau bencana.
“Allah SWT masih lagi nak tegur saya, itu sudah cukup untuk disyukuri,” katanya lagi.
Terdahulu, Along mendedahkan Afreena sudah tiga kali melanggar perjanjian taklik sepanjang tahun lalu.
Rentetan itu, Along bakal menfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Sepang dalam masa terdekat.
Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April tahun lalu selepas lapan tahun menduda.
Isnin lalu, Along membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah. – KOSMO! ONLINE