MIRI – Tiga lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini ditemui pagi ini menjadikan jumlah kematian kini seramai empat orang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, tiga mangsa terbaharu yang ditemui itu merupakan seorang wanita dan dua kanak-kanak perempuan, manakala seorang lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah yang berlaku awal pagi hari ini.
“Mangsa wanita dijumpai kira-kira pukul 8.55 pagi sebelum berjaya dikeluarkan pada pukul 10.53 pagi, manakala dua kanak-kanak perempuan terbabit masing-masing dijumpai pada pukul 11.38 pagi dan 11.48 pagi.
“Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh paramedik,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini katanya, empat orang sudah disahkan meninggal dunia dengan mangsa pertama iaitu remaja lelaki dijumpai pada pukul 6 pagi.
Ketika ini, seorang lagi mangsa yang tertimbus masih belum dijumpai dan operasi pencarian sedang giat dijalankan.
Operasi pencarian mangsa dijalankan melibatkan 20 anggota dan tiga pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong serta dibantu 23 anggota polis, 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam dan enam anggota tentera.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.58 pagi itu, dua buah rumah telah ditimbus tanah runtuh iaitu Lot 287 A yang didiami tujuh penghuni dan Lot 287 B yang didiami lima penghuni.-KOSMO! ONLINE