NEW DELHI – Seorang penumpang ditahan selepas cuba membuka pintu kecemasan pesawat dinaikinya ketika ia bersiap sedia untuk berlepas dari sebuah lapangan terbang di India, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku dalam Penerbangan 6E 6033 di Lapangan Terbang Jodhpur, negeri Rajasthan.
Pesawat IndiGo itu dijadualkan berlepas ke Lapangan Antarabangsa Kempegowda, bandar Bengaluru pada pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Syarikat penerbangan IndiGo berkata, lelaki itu membuka pintu pesawat semasa kru kabin melakukan taklimat keselamatan.
“Dia kemudian ditahan sebelum diserahkan kepada Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF) untuk siasatan lanjut.
“Insiden tersebut menyebabkan kelewatan penerbangan selama 20 minit,” tambahnya. – AGENSI