KUALA LUMPUR – Mentaliti tidak pernah berpuas hati menjadi sebab utama kepada pencapaian luar biasa Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali ke 11 berturut-turut.
Walaupun hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan, pemain Harimau Selatan sudah menyatakan ikrar untuk mencipta cerita lebih manis pada saingan musim ini.
Pertahanan JDT, Matthew Davies menjelaskan seluruh pasukan tidak mahu terlalu tertumpu kepada enam mata sebaliknya bercita-cita besar bagi mengekalkan kemenangan dalam baki enam perlawanan selepas ini.
“Sangat bangga dengan pasukan kami, daripada enam perlawanan kami perlu menang dua lagi untuk bergelar juara. Namun kami masih ada kerja yang perlu dilakukan selepas ini.
“Dengan baki enam perlawanan, kami juga mahu menang kesemuanya. Tidak ada cara lain, kami kena terus berusaha untuk tampil lebih baik,” katanya.
Sabtu ini Harimau Selatan yang menang 4-0 pada aksi pertama akan melayan kunjungan Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim bagi melengkapkan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
Februari juga menjanjikan perjalanan mencabar buat JDT kerana bakal hadapi dua aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE), menentang Central Coast Mariners pada 11 Februari dan Pohang Steelers (18 Februari). – KOSMO! ONLINE