PETALING JAYA – Selepas kedua-duanya berjaya mendaki Gunung Kinabalu beberapa hari lepas, kemesraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman dengan pelakon, Bella Astillah dilihat semakin ‘menjadi-jadi’.
Kemesraan tersebut semakin terukir apabila pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mencoret nukilan khas buat Bella di laman Instagramnya, hari ini.
Malah, beliau turut menganggap Bella seorang wanita daripada kumpulan manusia yang luar biasa berdasarkan tiga sifatnya.
Pertama kata Syed Saddiq, Bella seorang yang ‘super hardworker’ kerana lepas balik dari Sabah tidak sampai empat jam, dia sudah kembali untuk penggambaran seterusnya.
“Kedua, Bella seorang ‘multi-talented’, kerana semasa di Gunung Kinabalu dia buat segalanya. Dia la yang tolong berikan idea, dia la yang buat skrip, dia la jawab soalan media.
“Ketiga, Bella juga seorang penyayang, ikhlas dan baik. Dia bertegas nak buat misi bantuan di kampungnya, bila berjumpa dengan orang susah di sini, mereka sendiri kongsikan pengalaman di bantu oleh Bella sebelum ini,” tulis Syed Saddiq.
Pada masa sama, Syed Saddiq menyifatkan Bella seorang wanita besi yang luar biasa dan semoga lebih ramai lagi dapat belajar daripada wanita itu termasuk dirinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berharap agar kedua-dua mereka ditemukan jodoh.
“Panjang sangat YB, tolong akad nikah je,” tulis @salehrohman.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @bintu_sang_terpuji.
“YB mengarang ni sambil terbayangkan momen-momen indah bersama Bella kan. Suatu hari nanti YB akan tersangat rindu dengan momen-momen ni. Jadi, saya doakan moga berjodoh ye, amin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE