fbpx

‘Saya tidak akan lakonkan adegan keterlaluan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIRA SHAFINAZ kini muncul dalam naskhah One Cent Thief musim kedua.

SELEPAS berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61, si jelita Azira Shafinaz mengakui sudah diintai produksi luar negara.

Menurut Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, peluang untuk mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa sememangnya menjadi impian sejak lama.

“Saya ada mendapat tawaran dari luar negara selepas delegasi mereka menonton filem Indera lakonan saya yang melayakkan trofi untuk anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik.

“Ada beberapa tawaran tetapi masih lagi di dalam perbincangan. Saya pun tak mahu terlalu gembar- gemburkan tentang hal ini kerana seperti yang saya katakan semuanya masih di dalam perbincangan.

“Alhamdulillah anugerah tersebut telah membuka jalan untuk saya tembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana drama One Cent Thief musim kedua baru-baru ini.

Ahli kumpulan De Fam itu bagaimanapun mahu meletakkan syarat tertentu terutama daripada segi batas agama agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat, terutamanya yang beragama Islam.

“Saya tidak akan lakonkan adegan keterlaluan yang melanggar hukum agama dan budaya kita.

“Perkara sebegini sangat penting untuk kita ambil kira bila berlakon dengan produksi luar,” jelasnya.

Terkilan

Bercakap mengenai pengiktirafan yang diterimanya di peringkat antarabangsa terlebih dahulu sebelum tempatan, Azira tertanya-tanya pada mulanya kenapa orang luar yang lebih menghargai bakatnya.

“Sejujurnya sewaktu saya pergi festival tersebut saya tidak tahu pun saya tercalon. Saya hanya pergi untuk tayangan filem Indera. Pada saya sebagai pelakon saya masih kecil untuk tercalon di peringkat antarabangsa.

“Cuma saya adalah rasa sedikit terkilan kenapa nama saya di negara sendiri masih belum dipandang seperti orang luar memandang saya. Tak sangka anugerah pertama saya adalah daripada luar.

Sehingga saya tertanya-tanya adalah perkara ini betul. Adakah saya lakukan dengan betul.

“Mungkin di Malaysia orang lebih memandang populariti berbanding bakat. Saya bukan bercakap tentang saya tetapi secara umum situasi yang berlaku di negara kita. Kita perlu beri lebih banyak peluang kepada mereka yang mempunyai potensi,” ujarnya.

Bakal kembali dengan drama fenomena, One Cent Thief musim kedua pada 31 Januari nanti, Azira gembira apabila drama arahan Alfie Palermo dan Ariff Zulkarnain tersebut turut mendapat perhatian penonton luar negara selepas ditayangkan dalam platform penstriman Netflix sejak Disember tahun lalu.

“Saya banyak dapat maklum balas daripada penonton-penonton dari luar negara termasuklah Thailand, Filipina dan Singapura.

“Tetapi apa paling mengejutkan saya adalah drama Once Cent Thief berjaya berada dalam carta Top 10 di Thailand dan Filipina. Itu adalah satu kejayaan buat seluruh pasukan produksi.

“Sejak saya terima naskhah ini lagi saya sudah dapat rasakan bahawa cerita ini adalah sesuatu yang berbeza dan ‘gila’. Bukan seperti apa yang kita pernah ada di Malaysia sebelum ini.

“Saya rasa sangat bertuah dapat terlibat dengan drama ini dan dapat kembali untuk musim kedua. Kalau orang luar pun boleh hargai karya kita, saya harap penonton kita pun dapat beri sokongan untuk musim baharu nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI