MELBOURNE – Madison Keys mencipta sejarah sebagai juara perseorangan wanita Terbuka Australia tertua pada usia 29 tahun selepas menundukkan pilihan utama, Aryna Sabalenka dalam perlawanan dramatik berlangsung tiga set pada Sabtu lalu.
Namun, kemenangan itu bukan sekadar pencapaian di atas gelanggang, ia mempamerkan perjalanan mental dan emosi yang panjang bagi Keys yang akhirnya berjaya mengatasi tekanan serta cabaran diri untuk mencapai kejayaan.
Ketika ditanya rahsia kejayaannya, Keys mendedahkan transformasi mental menjadi titik perubahan terbesar dalam kariernya dan kejayaan itu lahir daripada keberanian untuk menghadapi kelemahan.
“Dulu saya lebih fokus pada terapi sukan seperti rutin dan mengawal perkara yang boleh dikawal. Saya cukup bagus dalam hal itu. Tapi, untuk benar-benar jujur tentang perasaan diri sendiri dan berani menghadapinya, itu sangat mencabar,” katanya.
Bersama suaminya, Bjorn Fratangelo yang merangkap jurulatihnya, Keys akhirnya membuka ruang untuk perubahan, termasuk mendapatkan sokongan ahli psikologi sukan dan menjalani terapi.
“Saya tidak mahu menjadi orang yang nampak sedang bergelut, tapi pada satu tahap saya benar-benar mengalaminya. Saya belajar untuk bercakap tentang perkara yang lebih besar daripada tenis dan ia membawa perubahan besar,” tambahnya.
Selepas bertahun-tahun mengalami turun naik prestasi dan tekanan di pentas profesional, Keys memutuskan untuk mengambil langkah berani dengan memberi keutamaan kepada kesihatan mentalnya.
Langkah itu tidak hanya membantu di gelanggang tetapi juga memberi kekuatan terus bersaing di peringkat tertinggi meskipun pada usia di mana kebanyakan pemain wanita mulai mengalami penurunan prestasi. – AGENSI