LIVERPOOL – Liverpool memasang impian untuk menjadi satu-satunya pasukan berjaya mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus daripada semua lapan perlawanan fasa liga dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
The Reds yang sudah pun mengesahkan tempat automatik ke peringkat 16 terbaik, kini memburu kemenangan kelapan menjelang aksi terakhir menentang jaguh Belanda, PSV Eindhoven di Stadium Philips awal pagi esok.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Arne Slot tidak yakin menamatkan aksi fasa liga di tangga teratas akan memberikan mereka kelebihan apabila beraksi di peringkat kalah mati nanti.
“Jujurnya kami gembira menjadi pasukan pertama mara ke kelompok lapan terbaik. Mungkin ini satu-satunya yang memberikan anda kegembiraan kerana kedudukan dalam carta liga sebenarnya tidak menjamin apa-apa.
“Contohnya dalam sukan tenis, jika anda No. 1, anda tahu menentang pemain ranking ke-24 mungkin tidak sebagus orang yang berada di No. 16.
“Namun, situasi berbeza dalam bola sepak. Mungkin pasukan di tangga ke-24 sebenarnya lebih hebat daripada tempat ke-16. Mungkin pasukan No. 16 akan mendapat undian yang lebih mudah,” kata Slot.
Berdasarkan rekod pertemuan menentang PSV, kelebihan jelas memihak Liverpool yang sudah merakam lima kemenangan, satu seri dan tidak pernah tewas dalam enam aksi antara kedua-dua pasukan.
Kali terakhir beraksi menyaksikan Liverpool menang 3-1 ke atas PSV sewaktu aksi peringkat kumpulan UCL pada 2008. – AGENSI